Bahasa dan susastera Ugarit

Abjad

Jurutulis Ugarit nampaknya telah membuat sebuah "abjad Ugarit" sekitar tahun 1400 SM dengan 30 huruf, setiap mempunyai satu bunyi, ditulis pada batu tanah liat. Walaupun ia kelihatan seperti tulisan pepaku, huruf-huruf ini tiada kaitan dengan tulisan Mesopotamia; sebaliknya, mungkin ia ada kaitan dengan abjad Phoenicia yang diturunkan daripada tulisan Mesir. Walaupun huruf-hurufnya tidak sama dengan abjad Phoenicia, turutan abjad lazim (seperti dalam abjad Rumi A, B, C, D, dll.) menunjukkan persamaan antara kedua-duanya, menunjukkan bahawa sistem tulisan Phoenicia dan Ugarit bukan benar-benar ciptaan sendiri.[10]

Bahasa Ugarit

Kewujudan bahasa Ugarit dibuktikan dalam teks-teks dari abad ke-14 hingga ke-12 SM. Ugarit biasanya dikelaskan sebagai sejenis bahasa Semit Barat Laut dan berkait dengan Ibrani, Aramia, Phoenicia, dan sebagainya. Ciri-ciri tatabahasanya amat serupa dengan yang ada dalam bahasa Arab Klasik dan Akkadia. Ia mempunyai dua gender (maskulin dan feminin), tiga kasus untuk kata nama dan kata adjektif (nominatif, akusatif, dan genitif); tiga nombor: (mufrad, duaan, dan jamak); dan aspek kata kerja serupa dengan yang ada dalam bahasa-bahasa Semit Barat Laut lain. Urutan perkataan dalam Ugarit ialah kata kerja–subjek–objek, subjek-objek-kata kerja (KSO)&(SOK); dimilik–pemilik (NG) (unsur pertama bergantung pada fungsi dan yang kedua selalu dalam kasus genitif); dan kata namakata adjektif (NA) (kedua-duanya dalam kasus sama (sepadan)).[11]

Susastera Ugarit

Patung Baal dari Ugarit

Selain persuratan diraja dengan golongan diraja negeri jiran, batu bersurat yang ditemukan dalam perpustakaan kota Ugarit juga mengandungi teks kepercayaan agama yang ditulis dalam bentuk puisi, surat-surat, dokumen perundangan seperti pertukaran tanah, beberapa perjanjian antarabangsa dan sejumlah senarai pentadbiran. Cebisan beberapa karya puisi telah dikenalpastikan: "Legenda Keret", "Legenda Danel", hikayat Baal yang menceritakan sengketa Baal-Hadad dengan Yam dan Mot, dan sebagainya.[12]

Penemuan arkib Ugarit pada tahun 1929 agak penting dalam kesarjanaan Alkitab, kerana arkib-arkib ini telah memberi penerangan jelas tentang kepercayaan agama Kanaan, pada zaman sebelum penempatan Bani Israel. Teks-teks tersebut mencerminkan sastera Bible Ibrani, terutama sekali dalam hal gambaran Tuhan dan bentuk puisi. Puisi Ugarit mempunyai pelbagai unsur yang kemudiannya ada dalam puisi Ibrani: kesejajaran, matra, dan rentak.